Kuatkah Jatidiri Kita?


Semalam aku menghadiri Forum Jatidiri anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Berita Harian menampilkan dua tokoh sasterawan Dato’ Aziz Deraman dan Dr. Lim Swee Tin yang mengupas apa yang dimaksudkan dengan ‘jatidiri’ warga Malaysia. Menurut Dr. Lim, aspek penerimaan yang disemai melalui 1Malaysia telah wujud sejak dahulu terutama dalam kalangan masyarakat Cina Peranakan di Kelantan. Di sana, kaum Cina telah menerima baik budaya dan cara hidup masyarakat Melayu tanpa sebarang prasangka namun mereka masih tetap berbangsa Cina yang mengamalkan adat resam mereka seperti kaum Cina yang lainnya. Lantaran itu menurut beliau, konsep penerimaan inilah yang perlu disemai di setiap warga Malaysia bukan Melayu dan menerima keadaan ini hasil daripada acuan sejarah sejak zaman-berzaman.
Lim berkata lagi, konsep penerimaan dalam 1Malaysia perlu diterapkan di setiap diri warga Malaysia tanpa mengira kaum kerana konsep ini telah lama bertapak dalam jiwa warga Malaysia sejak zaman sebelum merdeka lagi namun hari ini ia semakin terhakis.

Dato’ Aziz pula mengupas mengenai Perlembagaan yang telah menjadi pegangan dan aturan hidup bernegara di Malaysia. Menurut beliau, jika perlembagaan diganggu gugat, maka akan hilang atau terhapus negara berdaulat Malaysia kerana ia dibangunkan melalui perlembagaan. Oleh itu, perlembagaan ibarat tiang utama sesebuah negara. Mengubahnya bererti merobohkan sebuah institusi kenegaraan.

Forum yang dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Latiff Bakar itu turut menegaskan agar Bahasa Melayu tetap diperjuangkan kerana Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. ‘Kebangsaan’ pula membawa maksud milik bersama semua kaum. Hanya dengan bahasa sahaja yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat. Namun, semua panel bersetuju agar orang Melayu itu sendiri perlu menunjukkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul mengikut hukum tatabahasa dan sebutan yang betul.

Persoalannya, adakah selama ini kita yang mengaku sebagai warga jati Malaysia telah menuturkan Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan dengan betul dan sempurna? Adakah bahasa yang kita gunakan setiap hari betul dan tidak dicampur aduk dengan bahasa asing seperti so, maybe, I, you dan sebagainya. Atau, adakah mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah hanya dipelajari untuk lulus peperiksaan sahaja? Janganlah kita terlalu lalai bak kata pepatah ‘lenggang bagai sirih jatuh, tak tahu di tampuk layu.

No comments:

Post a Comment