
Dato’ Aziz pula mengupas mengenai Perlembagaan yang telah menjadi pegangan dan aturan hidup bernegara di Malaysia. Menurut beliau, jika perlembagaan diganggu gugat, maka akan hilang atau terhapus negara berdaulat Malaysia kerana ia dibangunkan melalui perlembagaan. Oleh itu, perlembagaan ibarat tiang utama sesebuah negara. Mengubahnya bererti merobohkan sebuah institusi kenegaraan.
Forum yang dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Latiff Bakar itu turut menegaskan agar Bahasa Melayu tetap diperjuangkan kerana Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. ‘Kebangsaan’ pula membawa maksud milik bersama semua kaum. Hanya dengan bahasa sahaja yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat. Namun, semua panel bersetuju agar orang Melayu itu sendiri perlu menunjukkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul mengikut hukum tatabahasa dan sebutan yang betul.
Persoalannya, adakah selama ini kita yang mengaku sebagai warga jati Malaysia telah menuturkan Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan dengan betul dan sempurna? Adakah bahasa yang kita gunakan setiap hari betul dan tidak dicampur aduk dengan bahasa asing seperti so, maybe, I, you dan sebagainya. Atau, adakah mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah hanya dipelajari untuk lulus peperiksaan sahaja? Janganlah kita terlalu lalai bak kata pepatah ‘lenggang bagai sirih jatuh, tak tahu di tampuk layu.